Saturday, May 9, 2009

Air ubat gout - siri 1


SELAIN makan ubat, antara nasihat wajib yang dipesan setiap hari kepada pesakit gout di hospital ialah minum banyak air. Soalnya, banyak mana kerana bagi pesakit gout tua, empat lima cawan air sehari juga dianggap banyak. Sebenarnya jumlah yang diperlu diminum ialah dua hingga tiga liter sehari.

Jika ada yang tidak dapat bayangkan banyak mana, tiga liter bersamaan dengan dua botol besar air mineral. Banyaknya! Perlukah minum sebanyak itu? Tidakkah nanti asyik berulang ke tandas untuk buang air kecil?

Sebenarnya memang itulah tujuannya — supaya air kencing pesakit sentiasa dalam keadaan cair. Kerap berulang ke tandas dianggap baik kerana ia menandakan lebih banyak garam dibuang daripada badan.

Gout adalah penyakit yang disebabkan pengumpulan asid urik dalam badan. Asid urik yang terbentuk dalam darah adalah hasil pemecahan pelbagai proses kimia.

Biasanya darah dibersihkan melalui proses penapisan di dalam buang pinggang dan asid urik kemudian dibuang melalui air kencing.


Bagaimanapun, badan pesakit gout tidak dapat menyingkir asid urik secukupnya dan parasnya di dalam darah meningkat. Asid ini mendap di sendi yang boleh menyebabkan keradangan akut pada sendi berkenaan. Keadaan ini dipanggil gout artritis akut.

Malah, individu yang ada penyakit buah pinggang juga mengalami masalah paras asid urik yang tinggi dalam darah. Ini sebabnya pesakit disuruh minum banyak air kerana lebih kerap mereka buang air kecil, bermakna lebih banyak asid urik dikeluarkan daripada badan.

Sebenarnya, gout adalah penyakit kuno yang diketahui dengan terperinci pada abad kelima Sebelum Masihi, tetapi hingga kini ia masih menjadi antara masalah besar di kalangan pesakit kerana menyebabkan kesakitan dan membataskan pergerakan seseorang.

Namun masih ramai tidak menganggapnya sebagai masalah besar berbanding penyakit lain, walaupun gout terbukti boleh menjejaskan kualiti dan tahap kesihatan seseorang, kata Perunding Reumatologi Hospital Putrajaya, Dr Heselynn Hussein.

Secara umumnya, satu peratus penduduk dunia menghidap gout; jumlah hampir sama dengan pesakit reumatoid artritis. Di Amerika Syarikat, jumlah pesakit gout berumur 65 tahun ke atas yang mendapatkan rawatan meningkat dua kali ganda dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

Meskipun tiada data rasmi insiden gout di Malaysia, senarionya mungkin tidak banyak berbeza kerana kebanyakan pesakit tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu diri sendiri. Ini kerana hampir 50 peratus pesakit gagal mengambil ubat mengikut jadual, terutama dalam tempoh enam bulan rawatan.

Gout antara bentuk artritis yang lazim menyebabkan keradangan, bengkak dan kesakitan secara tiba-tiba pada sendi, terutama sendi yang besar. Biasanya serangan gout hanya membabitkan satu sendi pada satu-satu masa.

Biasanya asid urik (juga dipanggil garam urat) mendap di sendi ibu jari kaki, tetapi ia juga boleh berkumpul di sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jari.

Walaupun gout dianggap penyakit keturunan, ramai pesakit tidak mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit ini dan 90 peratus kes membabitkan pesakit lelaki. Kebanyakan pesakit gout mempunyai kadar asid urik tinggi dan keadaan ini dipanggil hiperurisemia.

Hiperurisemia berlaku apabila buah pinggang gagal menyingkir asid urik secukupnya atau jika badan menghasilkan terlalu banyak bahan ini. Kedua-dua masalah inilah yang selalunya diwarisi anak.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN/emel

1 comments:

Anonymous said...

Titisan mineral boleh cuba gunakan untuk atasi gout..layari http://titisanmineral.blogspot.com/

Post a Comment

 
Powered by Blogger