Serangan pertama biasanya berlaku dalam lingkungan umur 40 hingga 50 tahun. Bagaimanapun, gout boleh menyerang semua peringkat umur, termasuk remaja.
Serangan gout berlaku secara mengejut dan cepat; tidak seperti artritis lain yang menyerang perlahan-lahan. Sendi yang terbabit terasa sangat sakit sehingga jika ditindih dengan kain nipis pun dirasa menambah kesakitan.
“Biasanya, serangan gout berlaku pada satu sendi dan tanpa rawatan, setiap serangan boleh berlanjutan antara satu hingga dua minggu. Serangan kedua biasanya mengambil masa lama (bulan atau tahun) untuk berlaku. Serangan boleh berulang dari semasa ke semasa pada sendi sama.
“Dianggarkan 60 peratus pesakit mengalami serangan kedua dalam masa setahun dan 78 peratus mendapat serangan kedua dalam masa dua tahun. Hanya tujuh peratus pesakit tidak mengalami serangan berulang dalam tempoh 10 tahun.
“Jika tidak diberi rawatan dan penjagaan, serangan gout menjadi lebih kerap, lebih lama dan mungkin membabitkan sendi lain. Serangan gout yang terlalu kerap adalah bahaya kerana boleh merosakkan sendi. Sama seperti kesan artritis lain, kerosakan sendi akibat gout tidak boleh dipulihkan dan menyebabkan seseorang pesakit menjadi cacat,” katanya pada pelancaran buku Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Gout anjuran Persatuan Reumatologi Malaysia dan Akademi Perubatan Malaysia.
Dulu gout dianggap penyakit orang kaya yang disebabkan pemakanan. Meskipun ia terbukti tidak benar, makanan dan minuman boleh menjadi pencetus serangan, terutama jika seseorang itu mengambil terlalu banyak minum minuman beralkohol dan mengambil makanan yang kaya kandungan purin.
Serangan gout boleh dicetuskan oleh beberapa faktor seperti:
Terlalu banyak minum minuman keras
Terlalu banyak makan, terutama makanan yang kaya purin
Kecederaan kecil pada sendi
Tidak cukup minum air
Badan mengalami kekurangan air disebabkan pengambilan sesetengah jenis ubat
Mengamalkan diet melampau
Berpuasa (contohnya sebelum pembedahan)
Pengalaman setiap pesakit mungkin berbeza, tetapi gejala yang biasa dilaporkan ialah:
Kesakitan secara tiba-tiba pada sendi yang selalunya membuatkan seseorang terjaga daripada tidur
Sendi bengkak dan terasa panas
Sendi menjadi merah dan nampak lebam
Pembentukan ‘tophi’ iaitu bintil atau ketulan di bawah kulit dan berhampiran sendi yang berisi kristal asid urik. Bintil tophi ini biasanya muncul pada pesakit yang lama menghidap gout. Ia boleh muncul di siku, jari, buku lali atau cuping telinga. Pada sesetengah pesakit, asid urik berlebihan ini berkumpul di dalam buah pinggang dan membentuk batu karang yang boleh menjejaskan fungsi buah pinggang
Malah, gout pada pesakit yang berumur adalah berbeza dengan pesakit muda seperti:
Gout pada pesakit berumur membabitkan banyak sendi
Lebih banyak wanita berumur mengalami gout
Gout berlaku pada sendi kecil pada pesakit tua
Pesakit tua yang mendapat gout ketika umur muda lebih mudah mengalami bintil tophi
Ada kaitan antara gout dengan ubat diuretik dan penyakit buah pinggang
Diagnosis gout
Perunding Reumatologi Hospital Pakar Al-Islam, Dr Mohd Shahdan Mohd Shahid, berkata gout boleh meniru gejala reumatoid artritis. Walaupun kebanyakan pesakit mengalami hiperurisemia, bukan semua orang yang tinggi kandungan asid urik dalam darah boleh dianggap menghidap gout.
Tanda paling jelas ialah serangan atau kesakitan sendi ibu jari kaki, tetapi pada masa sama doktor masih perlu menjalankan pemeriksaan lain untuk mengesahkannya.
Ini termasuk ukuran kandungan asid urik melalui ujian darah. Paras asid urik biasanya meningkat ketika serangan, tetapi sesetengah kes asid ini ada pada tahap normal. Kadangkala ujian cecair sendi perlu dilakukan untuk melihat kehadiran kristal asid urik.
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN/emel
2020
4 years ago
0 comments:
Post a Comment